Cabaran menyiapkan manuskrip Kalvaria


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Pujian bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang dimurkai ke atas mereka, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.


Salam Sejahtera, Salam Bahagia, Salam Keberkatan.
Izinkan saya berkongsi kisah awal penulisan saya. Walaupun mengambil tempoh masa yang lama untuk menyiapkan manuskrip Kalvaria ini, akhirnya pada Ogos 2018, dapat juga diterbitkan oleh penerbit yang tidak dijangkakan, iaitu ITBM. Siapa sangka. Semuanya hasil usaha yang gigih tanpa mengalah. 

Usaha menyiapkan manuskrip Kalvaria ini adalah usaha penulisan manuskrip karya saya yang kedua sebenarnya, iaitu pada tahun 2013. Manuskrip pertama saya berjudul "XX" iaitu pada tahun 2011, masih belum terbit kerana masih kena buat penambahbaikan. Doakan manuskrip pertama saya bakal terbit jua suatu hari nanti. Kena usaha tanpa jemu. 

Saya terpanggil untuk berkongsi dalam blog ini tentang suka duka penulisan novel Kalvaria. Ia memang banyak cabaran. Kepada yang sanggup bersabar dan tahan dengan dugaan, pasti akan membuahkan hasil. Sesungguhnya, pada awal penglibatan penulisan saya ini bukannya menulis berniat untuk mendapat keistimewaan apa-apa. Sebab hanya suka-suka untuk mencuba bakat, tahap penerimaan orang terhadap penggunaan bahasa dan penceritaan kita. Sama ada mudah difahami atau sukar difahami. Saya sedar diri bahawa pencapaian peperiksaaan SPM untuk penilaian Bahasa Melayu saya pada peringkat sekolah menengah bukannya A1. Saya sedar kelemahan saya dan saya rasa,  saya perlu bangkit untuk membuat penambahbaikan. 

Awal penglibatan saya dalam bidang penulisan adalah pada tahun 1993. Saya mencuba bakat saya dengan menghantar puisi biasa-biasa sahaja ke DBP. Ia kisah biasa-biasa sahaja, iaitu bertajuk, Sehari di USM. Pada ketika itu, saya belajar di USMCK. Ada kawan medik yang juga sekampung dengan saya memberi galakkan untuk menghantar karya ke DBP. Beliau adalah Dr. Karimah. Beliau kerap menghadiri bengkel anjuran DBP. Atas pengalaman itu, beliau sangat mendorong saya mencuba bakat. Sekarang beliau merupakan pakar O&G di Hospital Sultanah Nur Zahirah, KTG.  Saya amat berterima kasih kepada Dr. Karimah sebab beliau mencetuskan semangat penulisan sehingga ke tahap ini.

Setelah itu, oleh kerana kesibukan kerjaya, saya tidak menumpukan perhatian terhadap penulisan. Sehingga pada tahun 2013, saya kembali menghartar karya ke DBP untuk majalah Tunas Cipta. Saya mencuba lagi menghantar karya ke surat khabar Utusan Melayu dan majalah lain. Karya saya tidak banyak sebagaimana penulis lain. Biasa-biasa sahaja. Baru saya faham sebab mengapa penulis merasa seronok dan teruja untuk menghantar karya mereka untuk diterbitkan. Ia bagaikan persaingan dan ia adalah cabaran juga tentang pemilihan karya yang terpilih dan layak untuk diterbitkan. 

Berkenaan dengan penulisan novel, saya mencuba untuk menulis manuskrip biasa-biasa. Seolah luahan rasa hati. Ia bagaikan terapi diri. Bagi saya, dengan menulis saya merasa seronok meluahkan sesesuatu pengalaman setelah selesai tugasan seharian. Saya tidak merasa tertekan dengan kerjaya. Saya ada tempat yang baik untuk meluahkan isi hati saya iaitu melalui penulisan. Cuma untuk menjiwai watak, ia adalah cabaran hebat. Menghidupkan watak dengan nama-nama yang sesuai adalah cabaran bagi penulis. Nama watak memberi kesan besar dalam karya. Nama watak itu perlu serasi dengan penceritaan. 

Semasa menyiapkan manuskrip Kalvaria, kerapkali nama watak bertukar. Seringkali juga nama judul bertukar. Ada sahaja yang tidak kena dengan manuskrip Kalvaria. Sampaikan saya merasa macam agak berputus asa. Tapi, saya berfikir panjang. Cabaran nak menulis, cabaran penukaran bab, cabaran menyiapkan perenggan terakhir dalam manuskrip juga membuatkan saya merasa sesuatu. 

Setelah siap manuskrip, saya membaca banyak kali, mencetak banyak kali, baca lagi dan lagi. Masih juga ada kesilapan yang terlepas pandang. Bukan mudah sebenarnya. Ia mengambil masa yang panjang. Dan, pada bulan Julai tahun 2015, pada ketika itu saya bertugas di Cameron Highlands, setelah saya merasa puas menyemak penggunaan bahasa, ejaan dan sebagainya, saya mencuba menghantar manuskrip ke penerbit YY.  Saya masih ingat lagi, saya pergi mencuba nasib menghantar manuskrip ke Penerbit YY bersama dengan sepupu saya, Nor Hidayah Azahar. Beliau peminat novel. Banyak koleksi novel di rumah beliau! Haa...  Macam library dah!. Rak buku penuh buku yang telah dibaca beliau!

Selang beberapa minggu, saya mendapat khabar bahawa manuskrip Kalvaria (judul lain pada ketika itu) ditolak tanpa ada sebarang nota semakan atau penambahbaikan. Saya menerima dengan hati terbuka. Sedar diri. Saya bukan selebriti. Bukan sesiapa. Tiada ramai orang kenal pun. Penerbit itu lebih mengutamakan selebriti dan telah ada blog, atau apa-apa medium yang ramai pembaca. Peruntukan bajet penerbitan buku dan sambutan pembaca pemasaran setelah terbit oleh kerana penulis baru adalah cabaran juga. Jika terbit sendiri, tentunya memerlukan kos yang tinggi. 

Ya. Begitulah jika bukan rezeki. Saya menarik nafas panjang. Saya memeluk manuskrip saya. Saya membaca semula manuskrip mencari kelemahan. Saya sedar diri. Setelah itu, pada bulan Oktober tahun 2015, saya mencuba lagi menghantar manuskrip yang sama ke Penerbit ITBM. Saya menerima surat penerimaan manuskrip pada 19 Oktober 2015. 

Tidak lama selepas itu, saya mendapat khabar gembira dari Penerbit ITBM. Khabar yang tidak saya sangka. Sedar diri yang saya masih penulis baharu. Masih mencuba bakat.

Ya. Penerbit ITBM telah meluluskan penerbitan manuskrip Kalvaria. Allahu Rabbi. Terkejut. Tak sangka. Pada 1 Februari 2016, saya bersetuju dan menghantar "Surat Izin Terbit" khas buat Penerbit ITBM.


Setelah itu, saya bekerjasama dengan editor Novel Kalvaria iaitu Puan Zalila Isa. Kecut perut takut juga. Macam-macam saya dengar pasal editor ni. Saya segan. Haaaaa... Beliau sebenarnya editor hebat di Penerbit ITBM yang sangat saya kagumi. Saya bersyukur kerana beliau, Puan Zalila Isa menghadam penceritaan Kalvaria dengan baik sekali. Beliau banyak membuat penambahbaikan. Saya sedar. Ada banyak kelemahan saya dalam penulisan Kalvaria.  Jasa Puan Zalila Isa sangat saya hargai. Sebab itu saya abadikan kenangan dalam blog ini. Beliau menghidupkan watak Kalvaria dengan baik sekali. Syabas. Moga Allah memberikan kesihatan, keselamatan, ketenangan, kebahagiaan, kerahmatan, meluas rezeki buat beliau. Amiin. Sejujurnya, ketulusan hati beliau menyunting Kalvaria dengan baik memikat hati saya untuk mendampinginya walau dalam hati saya agak segan dengan kehebatan beliau. Sedar diri ini yang masih kurang ilmu penulisan.

Terima kasih Penerbit ITBM dan PENA kerana menerima manuskrip Kalvaria yang tidak seberapa ini.

 

No comments:

Post a Comment